Saturday, October 16, 2010

Model politik baru mungkin diwujud bagi kelangsungan Umno: Najib

Selepas membuat pembentangan Bajet yang disifatkan ramai sebagai Bajet menjelang Pilihan Raya Umum 13, pada hari ini PM telah melontarkan satu ide baru iaitu "model politik baru". Nampaknya dalam semenjak dua menjak ini Perdana Menteri kita sukakan perkataan "model" bagi membawa sesuatu idea pembaharuan yang sebelum ini "model ekonomi baru".

Model politik baru mungkin diwujud bagi kelangsungan Umno: Najib

October 16, 2010. PUTRAJAYA, 16 Okt – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengusulkan kemungkinan diwujudkan Model Politik Baru bagi memastikan kelangsungan Umno sebagai parti yang menerajui pemerintahan negara.

“Bukan sahaja kita perlu Model Ekonomi Baru, kita mungkin perlu Model Politik Baru,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran Kelab Umno Pesara Kakitangan Kerajaan di Seri Perdana di sini.

Najib, yang juga Presiden Umno berkata strategi seperti “politik pembangunan” tidak lagi berkesan jika digunakan sekarang.

“Saya kira mengapa orang menolak parti-parti yang banyak berjasa dahulu kerana parti itu tidak berubah. Parti itu dilihat sebagai kaku dan tidak dinamik. Mereka tidak berubah mengikut masa.

“Tetapi sebaliknya kalau kita berubah dan kita dilihat sebagai parti yang dinamik dan segar, Insya-Allah sokongan rakyat pada kita akan berterusan pada masa-masa akan datang,” katanya.

Walau bagaimanapun berdasarkan petikan dari laporan Malaysian Insider di atas kita belum nampak lagi bagaimana rupa model politik baru itu. Dan apakah model politik baru itu meliputi sama parti pembangkang atau sesama BN sahaja.

Yang jelas PM seakan mengakui bahawa "politik pembangunan" tidak lagi berkesan pada hari ini. Maknanya rakyat telah faham hari ini bahawa pembangunan adalah perkara wajib dilakukan sesiapa sahaja yang menjadi kerajaan. Untuk itu janji-janji politik berbentuk pembangunan tidak dapat menarik minat rakyat lagi dan janji itu pula pada kebiasaannya sekadar janji semasa Pilihan Raya.

Kita seringkali mendengar upacara pecah tapak sesuatu projek seperti pembinaan hospital, jambatan dan sebagainya yang entah berapa kali PRU diadakan upacara pecah tanah, sedangkan projek tidak nampak batang hidungnya.

Mengikut PM, model politik baru ini adalah perlu bagi memastikan kelangsungan UMNO sebagai parti yang menerajui pemerintahan negara. Apakah ini satu "retorik" pada rakan-rakan dalam BN atau satu anjakan baru dalam politik Malaysia. Mungkin dalam Perhimpunan Agung UMNO akan datang akan lebih jelas corak "model politik baru" yang dimaksudkan oleh PM ini.